- See more at: http://dikaeuphrosyne.blogspot.com/2013/04/cara-agar-artikel-di-blog-tidak-dapat.html#sthash.rm0Bb4tQ.dpuf
topbella

Tuesday, November 13, 2012

Cinta itu fitrah?


Cinta itu fitrah?

Assalamualaiq..buat sahabat yang ana kasihi kerana Allah, kebelakangan ini ana selalu mendengar  dari mulut sahabat di kampus asyik menyatakan cinta itu fitrah, bukan sekadar sahabat di kampus malah drama-drama di television turut menyatakan yang sama mengenai cinta adalah fitrah, sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan fitrah itu? Dan apa yang dimaksudkan dengan cinta?

Apa itu FITRAH?

Fitrah di ambil dari kata akar Al-fathr  yang membawa maksud belahan, dari perkataan ini dicambahkan membawa maksud yang lain, diantaranya “penciptaan” atau “kejadian” , kononnya sahabat rasulullah ibn abbas tidak memahami  apa yang di maksudkan dengan al fathr sehinggalah beliau terdengar satu perbualan  “ ana fatharthuhu” yang membawa maksud “ saya yang membuatnya dahulu”  dan dari situ lah beliau memahami bahawa ayat ini digunakan untuk penciptaan atau kejadian awal. Seperti yang difirmankan oleh Allah

“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan (turutlah terus) "agama Allah" - iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” ( AR-RUUM:30)

Merujuk kepada ayat diatas dapatlah kita simpulkan maksud fitrah itu adalah kejadian asal manusia yang berpontensi beragama.yang lurus dan yang ditafsirkan oleh ulama sebagai tauhid.

Namun demikian fitrah tidak terbatas dalam hal ehwal agama sahaja seperti yang diterangkan dalam firman Allah.

“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini , iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak hartabenda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang- binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).” (ALI-IMRAN:14)

Dengan ayat ini cukuplah untuk merangkan dan mendefinisikan fitrah sebagai bentuk dan system yang diciptakan oleh Allah untuk hambanya.fitrah yang berkaitan dengan manusia adalah apa yang diciptakan oleh Allah untuk manusia yang berkaitan roh, akal dan jasmani, sebagai contoh bahagia bila mendapat sesuatu yang disukai, sedih apabila menerima musibah ini fitrah akliyah dan kaki untuk berjalan adalah fitrah jasadiyah


Cinta berada dalam Cambahan fitrah yang mana?

Oleh kerana fitrah itu adalah sifat asli dan semulajadi yang ada dalam diri hambaNYA, maka ia akan jadi bermanfaat jika dimanfaatkan secara optimal, fitrah manusia di cambahkan kepada 3 iaitu :

1.     Fitrah jasmani
2.    Fitrah rohani
3.    Fitrah nafs

Tapi ana hanya akan berbicara topic kecil iaitu fitrah nafs kerana dalam fitrah nafs ni ada perkaitan dengan perasaan dan keinginan manusia. Ini kerana fitrah nafs adalah Psiko-fizik. Aspek ini jadi tunjang utama antara fitrah jasmani dan fitrah rohani , ini kerana ia memiliki 3 komponen iaitu qalbu, akal dan nafsu,yang saling berinteraksi untuk mewujudkan keperibadian.  Cinta juga merupakan satu keinginan dan perasaan oleh kerana itu dia berada dalam fitrah nafs.

Disebab kan cinta ini fitrah, jadi ia di tentukan oleh manusia itu sendiri untuk mengalurkan cinta itu  menjadi cinta hakiki atau menjadi cinta hina.



Cinta hakiki

Individu itu akan merasa cinta hakiki apabila ia mengarahkan fitrah cintanya  kearah cinta ibadah, sebagaiman ia merasa hina dihadapan Allah sehingga ia bermotivasi dan berkeinginan kuat untuk menjalakan segala arahan dan perintah Allah dan menjauhi laranganNYA seperti yang dinyatakan dalam kitab Allah

“Dan ketahuilah kamu bahawa di kalangan kamu ada Rasulullah. Jika dia menuruti kamu dalam kebanyakan urusan, nescaya akan menyusahkan kamu, tetapi Allah menjadikan kamu mencintai iman, dan menjadikannya indah dalam hati kamu, serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, dan kefasikan dan kederhakaan. Mereka itulah orang yang mengikuti jalan yang bijaksana”
(AL – HUJURAT :7)

Cinta juga ada dalam perhubungan diaantara manusiaantaranya kasih sayang kepada orang tua, anak, fakir miskin, orang sakit dann pelbagai lagi seperti yang diterangkan oleh Allah dalam kalamullah

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehinggga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)” ( AT – TAUBAH: 24)

Lihatlah bagaimana manusia memerlukan cinta(kasih sayang) untuk berurusan dengan manusia untuk mengekalkan kedamaian diatas muka bumi Allah, cinta yang digunakan dan disalurkan untuk meraih cinta Allah.

FITRAH BERCINTA ANTARA MANUSIA (BAITUL MUSLIM/DAKWAH)

Dalam fitrah cinta yang berbeza jantina juga merupakan satu fitrah, namun ada cara untuk mennyalurkan nya agar menjadi cinta yang hakiki seperti yang dinyatakan dalam kitab Allah

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir” (AR-RUUM : 21).

Dalam aspek menuju ke baitul muslim/dakwah ini ana ada menyediakan  1 formula mungkin oleh digunakan bersama

(Fitrah cinta + manusia(lelaki) + Allah)  + ( Fitrah cinta + manusia (perempuan) + Allah) + berlandaskan syara’ (nikah) + matlamat mardhatillah = Baitul Muslim/rumah tangga yang bahagia didunia dan akhirat




Dari pada formula ini ana rasa sahabat mampu faham dan menghuraikanya, untuk mewujudkan cinta antara manusia yang berbeza jantina untuk mennyalurkan fitrah cintanya, bermula daripada seorang individu yang bercinta dengan penciptnya untuk menjadi seorang individu muslim lalu berusaha mencari pasangan hidupnya berlandaskan syara’ dan jalan pencarianya juga bersih dari fitnah,pasangan ia juga merupakan seorang individu muslim juga lalu menjalinkan hubungan berlandaskan syariat iaitu dengan bernikah lalu mengharungi percintaan menuju mardhatillah ini lah dinamakan cinta hakiki lalu mencurah kan cinta terhadap zuriatnya untuk melahirkan individu muslim seterusnya mengebangkan dakyah islamiyah di muka bumi Allah.

Cinta Hina

Apakah cinta yang hina? Itulah dia cinta kepada taghut dan kesesatan. Memang mungkin kalau dikatakan begini, tiada yang akan menyatakan dirinya jatuh ke tahap cinta hina.
Tetapi hakikatnya, melanggar perintah Allah SWT, tidak mengambil hukumnya sebagai aturan kehidupan, melakukan apa yang Allah larang, itu semua sudah termasuk ke dalam cinta kepada taghut dan kesesatan.

Tambah hina apabila di dalam jiwa kita ada rasa ‘cinta’ dengan maksiat dan keingkaran. Cinta inilah yang akan menyeret Cinta Pertengahan kepada kerosakan.

Lihatlah dalam kehidupan kita hari ini. Pandang sekeliling kita. Lihat di dalam kaca TV. Bagaimana masyarakat kita memahami cinta. Allah diletak tepi, pesanan Rasulullah SAW tidak diendahkan lagi. Maka rosaklah keimanannya, memudahkan syaitan menyeluk ke dalam jiwanya.

Macam mana pula dengan couple islamik?

Hakikatnya apa yang dimaksudkan sahabat dengan couple islamik? Adakah islam menghalalkan cara bercinta sebelom nikah? Mari kita saksikan ini… 

“Katakanlah kepada laki-laki yang beriman : Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat”.
(Surah An-Nuur : Ayat 30)

Maksdunya, dilarang lelaki melihat bahagian tubuh wanita melainkan wajah dan telapak tangan. Kerana bahagian lain adalah aurat. Jika cinta islamik ini wujud sebelom nikah adakah perkara ini mampu dielakan?, bagi ana tiada jawapan kerana cinta islamik yang dinyatakan sahabat adalah ia akan keluar dating dan dari sini lelaki akan melihat langokan pingang perempuan dan bahagian dadanya apabila keluar berdua-duaan.

Jika ada couple islamik yang dikatakan sahabat, mampukah couple islamik itu elak daripada ini

Nabi Bersabda “Sesungguhnya Allah telah menetapkan bagi anak Adam mendapat bagian dari zina, tidak boleh tidak, zina kedua mata ialah memandang, zina lidah ialah perkataan, dan zina hati ialah keinginan dan syahwat, sedang faraj (kemaluan) saja yang menentukan benar ataau tidaknya dia berbuat zina.” (Muattafaqun `Alaih)

Dari Jarir bin Abdillah  berkata : Saya bertanya kepada Rasulullah mengenai “pandangan yang tiba-tiba”, maka beliau bersabda :”Palingkan pandanganmu.”
( H.R. Muslim dan Abu Daud, lafadz hadits Abu Daud)

Maksudnya jika terpandang aurat secara tiba-tiba. Maka nabi mengarahkan agar sahabat berpaling. Kerana haram MENATAP AURAT WANITA atau WANITA MENATAP AURAT LELAKI. Ini bermakna, tidak boleh menatap kecantikan seseorang yang boleh mendatangkan rangsangan nafsu dan syahwat mampukah couple islamik yang dinyatakan oleh sahabat elakan perkara ini?

Dalam hadits lain, Rasulullah bersabda :
“Jangan kamu ikuti pandangan (pertama) itu dengan pandangan (berikutnya), pandangan pertama untukmu, dan tidak untuk yang pandangan kedua.” ( H.R. Tirmidzi dan Abu Daud, Tirmidzi dan AlBani menilai hadits ini hasan.)

Yang dimaksud dengan pandangan pertama adalah pandangan yang terlontar tanpa sengaja. Jadi, adakah mungkin orang bercouple tidak saling memandang? Adakah mungkin orang bercouple bila bercakap tutup mata? Sudah tentu mustahil. Bila bercinta akan saling menatap, memandang dan memerhati seluruh tubuh pasangan. Adakah ini dikatakan couple islamik?

Mari kita lihat lagi adakah couple islamik yang dikatakan sahabat itu mampu mengelakan perkara ini?

Biasanya orang bercinta, mula-mula sahaja duduk renggang. Bila sudah selalu bertemu, syaitan akan goda “Engkau ini sudah lama kenal, apa salahnya sentuh-sentuh dan pegang tangan. Semua orang buat macam tu bila bercinta. Barulah namanya pasangan kekasih” maka si lelaki mula buat2 tersentuh.

Kerana itu, Allah melarang mendekati couple sebab bila sudah selalu bersama. PASTI akan berpegang atau bersentuhan. Ingat! Menyentuh dengan sengaja adalah satu perbuatan yang haram. Demikian juga seorang perempuan menyentuh lelaki ajnabi, ini berdasarkan sabda Nabi saw:

Maksudnya: “Kalau dicucuk dengan jarum dikepala salah seorang dari kamu adalah lebih baik daripada dia menyentuh perempuan yang tidak halal baginya”. [HR At-Tabarani 20/212, Sahih Al-Jami’ No. 4921]

Daripada satu hadis yang diriwayatkan daripada ibnu Majah menyatakan bahawa
“Bergomolan dengan babi (khinzir) itu adalah lebih baik berbanding dengan bersentuhan (secara sengaja) dengan wanita yang bukan mahram”.

Bersentuhan (dengan sengaja & apatah lagi bertujuan syahwat) adalah berdosa dan wajib bertaubat (bagi membersihkan dosa). Sedangkan menyentuh anjing tidaklah berdosa dan hanya perlu disuci (bukan bertaubat). Menyentuh anjing bukanlah satu kesalahan (dosa) atau maksiat. Tetapi, menyentuh wanita bukan mahram adalah berdosa dan merupakan maksiat.

“Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna”.
(Surah Zumar: 9)

Mari kita lihat untuk kali terakhir apa yang dikatakan sahaat mengenai couple islamik yang mapu mengelak perkara ini?

Bila bercinta, adalah pasti wanita dan lelaki akan berbicara. Dalam berbicara sudah pasti akan terselit nada mendayu dan perkataan yang lemah-lembut. Kerana itulah dinamakan percintaan. Orang bercouple tidak akan saling tengking menengking. Orang bercouple sudah pasti saling ketawa dan bersenda gurau. Jadi, apakah hukum suara wanita dalam bab bergurau, ketawa dan mendayu-dayu?

Mengikut Imam Syafie; Suara wanita adalah aurat dihadapan lelaki2 yang ajnabi(Asing) samaada dikhuatiri terjadinya fitnah mahupun tidak.

Suara wanita tidak aurat sekiranya masih berada di dalam batasan yg digariskan. Suara Wanita yg bernada rendah/ mendesak/ merayu/ menggoda/ lembut terhadap ajnabi ataupun didengari oleh ajnabi ianya haram. HARAM bercakap dengan nada yang lembut.

Suara seseorang wanita ajnabiah ketika beliau berada berhampiran dengan lelaki ajnabi adalah Dianggap Sebagai Aurat Menurut Pendapat Yang Sahih. Oleh itu, seseorang wanita tidak dibolehkan mengucapkan tasbih di dalam sembahyang mereka ketika mereka menegur sesuatu perbuatan imam yang salah sebagaimana lelaki mengucapkan tasbih. Bahkan, seseorang wanita hanya memadai menepuk belakang tangannya. Begitulah seterusnya, seseorang wanita tidak dibolehkan meninggikan suaranya ketika mengucapkan talbiah semasa mereka berihram kecuali menurut kadar yang boleh didengar oleh teman wanitanya.

Firman Allah SWT dalam

Surah al-Ahzab ayat 32 yang bermaksud, “Maka seseorang wanita itu janganlah melembutkan suaranya kerana menyebabkan hati orang lelaki yang ada penyakit akan menaruh harapan. Seseorang wanita hendaklah mengucapkan perkataan yang sopan.”

 Imam Ibnu Jarir at-Tabari RA dalam tafsirnya mengatakan, seseorang perempuan itu janganlah melembutkan suaranya kepada seseorang lelaki yang boleh mendorong orang yang mempunyai niat tidak baik melakukan perbuatan serong kepada perempuan itu. Kemudian, beliau menukilkan hadis dengan sanad yang bersambung kepada Ibnu Abbas RA berkata,

‘“Seseorang perempuan janganlah menurunkan nada bicaranya dan melembutkan ungkapannya.”

Beliau juga menukilkan hadis yang sanadnya bersambung kepada Ibnu Zaid berkata,

‘“Menundukkan suara ialah suara yang dibenci Allah yang diluahkan oleh seseorang perempuan kepada lelaki ajnabi, yang boleh menusuk ke dalam jiwa lelaki.”
Perkataan yang makruf ialah ungkapan yang sopan, baik dan terkenal dengan kebaikan.

Imam Qadhi Abu Bakar ibnu al-Arabi berkata di dalam kitabnya Akamul Qur’an mengenai
firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 32 itu, Allah SWT telah memerintahkan kepada seseorang perempuan agar ungkapannya keras dan perkataannya terbatas. Tidak boleh menurutkan gaya perbicaraan di dalam hati dihubungkan dengan apa yang diluahkan menggunakan suara lembut, di mana pendengar lelaki boleh berkeinginan untuk berbicara lebih panjang. Seseorang sewajarnya memulakan bicaranya dengan baik dan keras. Seseorang perempuan diperintahkan mendatarkan perkataannya. Dimaksudkan dengan makruf ialah dikembalikan kepada syarak menurut apa yang diperintahkan untuk menyampaikannya atau sekadar hajat yang diperlukan oleh manusia.

Imam al-Qurtubi berkata di dalam tafsirnya al-Jamik Li Ahkam al-Qur’an, “seseorang perempuan tidak boleh melembutkan suaranya. Allah memerintahkan kepada seseorang perempuan agar perkataannya keras dan perkataannya terbatas. Mereka tidak boleh meluahkan bicaranya menurutkan gaya seperti yang ada di dalam hatinya yang lembut. Sebagaimana halnya perempuan Arab yang bercakap dengan orang lelaki menggunakan suara yang halus dan lembut seperti ungkapan orang yang meragukan dan menggodakan. Syarak melarang perempuan melakukan seperti itu. Ibnu Abbas berkata, seseorang perempuan hendaklah menyuruh perkara kebaikan dan melarang perkara kejahatan. Seseorang perempuan, bila bercakap-cakap dengan lelaki ajnabi, begitu juga dengan lelaki yang mempunyai hubungan kekeluargaan melalui persemendaan dengannya seperti suami saudara perempuannya (ipar lelaki) dan sepupu lelaki, hendaklah mengeraskan perkataannya tanpa mengangkat suaranya. Seseorang perempuan diperintahkan mendatarkan suaranya. Oleh itu, ungkapan yang makruf ialah perkataan yang tidak diingkari oleh syarak dan jiwa.”

 Imam Abu Bakar ar-Razi yang dikenali dengan al-Jasas berkata di dalam kitabnya Ahkam al-Qur’an, seseorang perempuan tidak boleh melembutkan suaranya kepada lelaki-lelaki ajnabi dengan gaya yang boleh diingini oleh lelaki yang meragukan niatnya. Ini menunjukkan bahawa hukum itu diumumkan kepada semua perempuan dalam tegahannya berbicara dengan lelaki ajnabi. Adalah lebih baik, seseorang perempuan tidak mengangkat suaranya yang boleh didengari oleh lelaki ajnabi.

 Imam Ibnu Kathir berkata di dalam tafsirnya, menukilkan perkataan as-Sudi, maksud firman Allah Taala, seseorang perempuan tidak boleh menundukkan suarannya ialah menggunakan suara yang halus, lembut dan lunak ketika berbicara dengan lelaki ajnabi.
Ibnu Zaid berkata, perkataan baik, sopan dan terkenal dengan kebaikan bermakna seseorang perempuan ketika berbicara dengan lelaki ajnabi tidak menggunakan perkataan yang halus dan merdu, iaitu seseorang perempuan tidak berbicara dengan lelaki ajnabi seperti dia berbicara dengan suaminya.

Suka diterangkan disini,perbualan ini tk terhad kepada telefon memandangkan dunia yg semakin canggih.justeru,voice chat,tele-conference,cellphones etc termasuk dlm kategori yg sama. Pesanan, kalau tiada hal yang benar-benar mustahak, tak perlulah berurusan dengan cara yang boleh menimbulkan fitnah dan zina dari segenap aspek.
Jadi mananya couple islamik yang dikatakan sahabat tu?

Maka, secara jelasnya. TIADA JALAN BERCOUPLE MAHUPON COUPLE ISLAMIK DALAM ISLAM. MELAINKAN KAHWIN SAHAJA. KAHWIN ADALAH COUPLE ISLAMIK YANG SUCI DAN HALAL.

Jadi semua ini adalah dalam kategori cinta hina

Perhubungan sepatutnya di antara lelaki dan perempuan

"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat" (al-Hujurat: 10)

Ukhwah bermaksud persaudaraan. Perkataan ukhwah berasal daripada perkataan akhun atau akh yang bererti saudara. Saudara lelaki disebut akhun manakala saudara perempuan disebut pula sebagai ukhtu. Tetapi,perkataan ukhwah itu sendiri tidak membezakan antara sesama lelaki atau sesama perempuan, ia merangkumi semua secara umum, lelaki sesama lelaki, perempuan sesama perempuan, dan lelaki sesama perempuan. Bersaudara bukanlah bermaksud kita boleh memperlakukan orang-orang lain seperti adik kita, tetapi bagaimana rasa kasih dan sayang itu kita terapkan terhadap saudara-saudara kita yang lain sama seperti mana kita berikan kepada adik-beradik kita.

Maka persoalannya, wujudkah istilah ukhwah antara lelaki dan perempuan?

Dalam ilmu usul fiqh, kita mengetahui bahawa dalam menentukan sesuatu hukum, jika tiada dalil dari nas al-Quran mahu pun al-Hadis yang mengharam atau menghalalkan sesuatu perkara, maka ianya jatuh hukum secara harus (mubah). Tiada satu pun hadis atau ayat al-Quran yang menyatakan bahawa seorang muslim lelaki dan perempuan bukan bersaudara. Jadi dari mana pula datangnya hukum atau pernyataan yang mengatakan 'tiada ukhwah antara lelaki dan perempuan'?

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana" (at-Taubah: 71)

Dari Anas bin Malik r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Tiada iman seseorang itu  hingga ia mencintai  saudaranya apa yang ia cintakan untuk dirinya" (Bukhari dan Muslim)

Menyalahgunakan Istilah Ukhwah

Bukan istilah ukhwah itu yang menjadi masalah, tetapi mereka yang menggunakan istilah ukhwah untuk agenda  tersembunyi, itu yang bermasalah. Kononnya dalam SMS mahu pun laman jaringan sosial maya, mereka menggunakan istilah 'Salam Ukhwah' dan seumpamanya, untuk berkenalan dengan kaum berlainan jantina. Mereka melapik perbuatan yang mungkar dengan benda yang maaruf. Ini yang salah.

Ikhtilat bukan ukhwah. Ikhtilat adalah percampuran, atau juga pergaulan. Ukhwah itu dibina atas landasan akidah yang sama, tetapi ikhtilat itu tidak memerlukan apa-apa ikatan landasan untuk dibentuk atau dibina. Senang kata, tidak mungkin percampuran seorang lelaki dan seorang perempuan (berdua-duaan) itu berlaku atas nama ukhwah (yang dibina atas dasar iman dan takwa), tetapi ianya hakikatnya adalah suatu bentuk ikhtilat yang ditanam atas dasar nafsu dan bisikan syaitan!

Prof. Dr. Yusof Qardhawi dalam bukunya Fatwa Mua'sarah (Fatwa Kontemporari) mengatakan bahawa perkataan 'ikhtilat' itu sendiri sebenarnya dipinjam dari perkataan luar, yang mana ianya tidak sesuai untuk menggambarkan hubungan ukhwah yang sebenar antara muslim. Tidak berlaku di zaman Nabi tentang ikhtilat melainkan para sahabat semuanya berhimpun, bergaul, dan berinteraksi atas landasan ukhwah Islamiyah yang sejati.

Ukhwah itu cinta, tetapi cinta tidak semestinya ukhwah. Cinta itu ada banyak peringkat dan sifatnya. Terlalu banyak buku yang menjelaskan peringkat-peringkat cinta, hingga ana juga pening kepala membaca dan menyatukan kesemuanya. Namun apa yang boleh difahami, ukhwah itu menerbitkan rasa cinta sesama saudara, tetapi cinta itu pula, tidak semestinya lahir dari ikatan ukhwah yang didirikan, ianya boleh muncul secara tiba-tiba, boleh muncul disebalik rasa kebencian, malah boleh juga timbul pada saat yang tidak pernah kita jangkakan sendiri. Dan semestinya, rasa cinta kita terhadap setiap individu berbeza. Cinta seorang suami terhadap isterinya mestilah lebih tinggi daripada cintanya terhadap jiran perempuannya, walaupun mereka berbual, tolong-menolong atas landasan ukhwah.

Sesunguhnya mereka adalah saudara kita

Interaksi antara lelaki dan perempuan itu dibenarkan, namun ada batasnya, ianya bukanlah ditegah secara mutlak, dan bukan juga dibenar secara mutlak. Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas dalam interaksi antara lelaki dan perempuan,baik sesama muslim mahu pun dengan yang bukan muslim. Ianya terguna pakai dalam semua keadaan.

"...Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir. (Cara) yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka..." (al-Ahzab: 53)

Ada yang menggunakan dalil di atas (atau yang lain-lain seumpamanya) untuk mengatakan bahawa interaksi antara lelaki dan perempuan itu ditegah, sebab itu ianya dibuat disebalik hijab. Malangnya penyataan itu adalah terpesong dari maksud sebenar ayat al-Quran ini. Jika benar tidak boleh ada interaksi antara lelaki dan perempuan, maka sepatutnya ayat 'tidak boleh langsung meminta' yang keluar. Hijab (belakang tabir) itu menunjukkan bahawa interaksi lelaki perempuan itu dibenarkan, namun hendaklah mempunyai batas, yang mana batas itu dapat menundukkan hati-hati mereka, lelaki dan perempuan.

"Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuatkan" (an-Nur: 30)

"Wahai isteri-isteri Nabi! Kamu tidak seperti perempuan-perempuan yang lain jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk (melemah-lembutkan suara) dalam bicara hingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik" (al-Ahzab: 32)

ana rasa tidak perlu ana menerangkan dengan panjang lebar apa batas-batas pergaulan lelaki dan perempuan, cukup kiranya dua dalil yang saya nyatakan di atas. sahabat boleh mencari sumber di laman web lain atau buku-buku mengenai batas pergaulan dengan lebih terperinci. ana lebih menyarankan sahabat untuk 'bergerak' dalam membaca dan mencari ilmu supaya pengetahuan sahabat lebih jelas dan luas, malah dapat memupuk semangat mencari ilmu, insyaallah.

Masalah Hati?

"Kami pada mulanya berkawan biasa sahaja, sentiasa membicarakan tentang hal-hal yang berfaedah, tetapi lama-lama saya tidak dapat membendung rasa 'itu' terhadap dia! Bagaimana ini?"

"Apa batasnya yang menjauhkan kami dari menghampiri zina seperti yang dinyatakan dalam ayat al-Quran?"

Ana  tidak berani hendak berbicara mengenai perkara ini dengan mendalam kerana ilmu dan pengalaman ana tentang perkara ini terhad. Ana cuba menjawab dengan mengambil dua ayat ini;

Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Janganlah kamu berdengki-dengkian, dan janganlah kamu bertipu-tipuan, dan janganlah kamu berkebelakang-belakangan, dan janganlah setengah kamu menjual di atas penjualan setengah kamu dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam bersaudara orang Islam, tiada boleh ia menganiayainya, dan tiada boleh membiarkannya (dalam kehinaannya), dan tiada boleh mendustainya dan tiada boleh menghinakannya. Takwa itu di sini (Nabi berkata sambil menunjukkan ke dadanya tiga kali). Sudah cukup banyak kejahatan seorang itu, bahawa ia merendahkan saudaranya orang Islam. Sekalian orang Islam atas orang Islam haram darahnya dan hartanya dan kehormatannya" (riwayat Muslim)

"Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti" (al-Hujurat: 13)

Nampak apa huraian di kedua-dua penghujung ayat di atas? TAKWA dan MARDHATILLAH.

Wallahu'alam.
Terus menjadi hamba yang sentiasa meraih mardhatillah


RUJUKANKERTAS KERJA KOBAR

0 comments:

Post a Comment

Site Sponsors

Powered by Blogger.