Setiap universiti ada bulan yang dinanti-nantikan oleh
graduan-graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka. Pada bulan
inilah mereka diraikan oleh ahli keluarga dan seluruh warga universiti pada
hari yang sangat berprestij, hari konvokesyen. Ibu bapa merupakan insan yang
paling gembira melihat kejayaan anak-anak mereka.
Segulung ijazah digenggam erat. Detik tersebut akan dicatatkan
dan direkodkan sebagai detik terindah dalam hidup mereka. Hari yang
dinanti-nantikan sepanjang pengajian mereka selama tiga hingga empat tahun di
universiti tersebut.
Itu kisah graduan yang diraikan. Apakah kaitannya dengan bulan
Ramadhan yang bakal kita lalui nanti?
Analoginya mudah. Universiti kita sekarang adalah bulan
Ramadhan. Berminggu-minggu sebelum masuk ke ‘universiti’, kita seharusnya
membuat persiapan awal yang lengkap. Persiapan diri dan mental. Menyelesaikan
segala urusan duniawi kerana kita bakal masuk ke satu bulan yang mengkehendaki
kita menyibukkan diri dengan amalan dan ibadat yang boleh mendekatkan diri
kepada Allah.
Minggu pertama dalam bulan Ramadhan, ibarat minggu orientasi di
universiti. Kalau di universiti, kita berdepan dengan minggu orientasi yang
memenatkan, yang mengkehendaki kita banyak berjalan dari satu fakulti ke fakulti
yang lain, dan berdepan dengan realiti sebenar kehidupan universiti yang tidak
lah semudah yang disangka.
Kisahnya sama dengan bulan Ramadhan ini, minggu pertama akan
menjadi sangat berat bagi mereka yang baru belajar berpuasa dan bagi yang sudah
sekian lama tidak melatih diri berpuasa sunat. Kerana puasa bukanlah hanya
menahan lapar dan dahaga tetapi turut menuntut kita menahan nafsu amarah, iri
hati dan semua sifat yang dulunya dididik oleh syaitan selama 11 bulan sebelum
ini. Letih berpuasa bukanlah alasan untuk bersikap ‘moody’ dan kurang energetik
dalam kerjaya.
Pengisiannya pula berorentasikan kerinduan kepada Pencipta yang
melimpahkan Rahmat dan MaghfirahNya. Serta pujuk rayu agar dilepaskan daripada
Neraka yang meluap-luap bahangya. Ramadhan juga mengajar pencinta akhirat
memperkemaskan kualiti ibadat fardhu dan menggandakan amalan sunat serta
menghidupkan sunnah mulia Rasulullah s.a.w.
Seperti mana universiti sebenar, setiap apa yang diajar tetap
akan diuji dalam peperiksaan. Ujian kita kali ini datangnya dari Allah. Allah
munguji kesabaran kita dengan perkara yang kita paling marah, Allah menguji
keimanan kita dengan perkara yang paling kita sayang, Allah juga menguji
kekuatan kita pada perkara yang paling kita lemah, Allah menguji ketaqwaan kita
pada perkara yang kita lalai, malah Allah uji kita dalam semua perkara.
Disitulah, bukti cinta sejati yang selama ini kita ucapkan dipertaruhkan. Lulus
dan gagal dalam ujian Allah, sepatutnya dijadikan tanda aras bagi mereka yang
sentiasa mengejar kejayaan segulung taqwa.
Belajar merungkai dan menginsafi diri atas kebesaran Alllah
sekali gus dapat menambah keimanan dalam diri kita. Kesanggupan berjaga malam
dan bersengkang mata menyiapkan ‘assignment’ dalam pelbagai cara demi mengumpul
‘mata’ tambahan untuk berjaya di universiti Ramadhan ini. Ada
yang mendirikan
solat terawih, membaca Al-Quran, mengerjakan solat-solat sunat dan
berlumba-lumba melakukan ibadah yang disukai oleh Allah.
Jika mahasiswa berlumba-lumba menyiapkan assignment, membuat
tutorial, keluar masuk bilik lecturer bertanyakan soalan yang tidak dapat
diselesaikan, berusaha mendapatkan markah tertinggi dalam kalangan rakan-rakan
mereka, dan sedaya upaya inginkan gelaran dekan. Di bulan inilah kita perlu
letakkan azam dan berlumba-lumba melengkapkan ibadah kita,banyakkan zikrullah,
berlumba mengejar pahala untuk bekalan kita dan sedaya upaya inginkan gelaran
muttaqin ( orang-orang bertaqwa ).
Ijazah Taqwa akan dianugerahkan pada Konvokesyen Akhirat nanti
oleh Allah sendiri. Beruntunglah bagi mereka yang menerimanya, dan merugilah
bagi mereka yang mensia-siakan Ramadhan yang menjadi Universiti kepada anugerah
Taqwa. Hanya sebilangan sahaja akan berjaya ditambah pula dengan ‘sijil’
LailatulQadar bagi mereka yang memburunya.
Roh puasa akan membenihkan karakter diri yang mantap dan
terpuji. Apatah lagi janji Allah pada mereka yang benar-benar sabar dengan
mengerjakan suruhan-suruhanNya, pasti Taqwa menjadi milik mereka.
Harus diingat, Ramadhan bukan menjadi titik tolak untuk meraih
Taqwa, amalan Fardhu yang lain turut menjadi syarat-syaratnya. Sebaik mana pun
amalan kita di bulan Ramadhan, tetapi di bulan-bulan yang lain, kita masih
ditakuk lama, mencari sisa-sisa maksiat, Taqwa hanyalah sebuah mimpi.
Namun, universiti Ramadhan jangan diperlekehkan, kerana disitu
bisa ditanam pucuk-pucuk taqwa dan iman. Orang yang bertaqwa seolah-olah mereka
sedang berjalan di tengah-tengah malam yang padanya penuh onak dan duri.
Begitulah bakal-bakal ‘graduan’ taqwa dalam meniti usia dunia fatamorgana ini.
Pemergian Ramadhan, bukanlah untuk ditangisi berterusan.
Alangkah beruntung jika tangisan itu menyiram benih-benih iman yang disemai
semasa berada di Universiti Al-Mubarak. Usah biarkan segala usaha menanam benih
tersebut dipersia-siakan. Jika kita teruskan dengan amalan yang telah kita
didik dalam diri kita selama sebulan ini, InsyaAllah, benih iman tadi akan
tumbuh segar dalam diri kita sehingga kita bertemu dengan ramadhan yang akan
datang dengan penuh pengharapan.
terus menjadi hamba yang meraih ridhoNYA
0 comments:
Post a Comment