“Ya Allah, ya Tuhanku,
Aku berlindung diri kepada Engkau,
daripada segala yang boleh memesongkan diri daripada-Mu,
daripada segala pendinding
yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!
“ YaTuhanku!
bintang-bintang telah menjelma indah,
mata telah tidur nyenyak,
semua pemilik telah menutup pintunya
dan inilah daku bersimpuh dihadapan-Mu.
“Ya Tuhanku!
Tiada kudengar suara binatang yang mengaum,
tiada desiran pohon yang bergeser,
tiada desiran air yang mengalir,
tiada siulan burung yang menyanyi,
tiada nikmatnya teduhan yang melindungi,
tiada tiupan angin yang nyaman,
tiada dentuman guruh yang menakutkan
melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu
dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.
“Ya Tuhanku!
Sekelian manusia telah tidur
semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya,
Yang tinggal hanya daku,
hambaMU,
yang banyak kesalahan di hadapan-Mu,
Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadaku
yang akan menahannya daripada tidur supaya daku dapat berkhidmat kepada-Mu.”
“Tuhanku!
Engkau akan mendekatkan,
orang yang di dalam kesunyian,
kepada keagungan-Mu,
Semua ikan di laut bertasbih,
dalam lautan yang mendalam,
dan kerana kebesaran kesucian-Mu,
ombak di laut bertepukan,
Engkaulah Tuhan tempat ku bersujud,
malam yang gelap,
siang yang terang,
falak yang bulat,
bulan yang menerangi,
bintang yang berkerdipan
dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”
“Wahai Tuhanku!
Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti,
Wahai malangnya diriku ini!
Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia,
ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah?
Demi kemuliaan-Mu,
jadikanlah caraku ini kekal
selama Engkau menghidupkan aku
dan bantulah aku,
Demi kemuliaan-Mu,
jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu,
nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ
disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”
“Perkahwinan itu,
memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan,
Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku,
Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya,
Aku tidak mempunyai apa-apa pun,
Kecuali DIA”
“Ya Tuhanku!
Tenggelamkanlah aku
ke dalam lautan kecintaan-Mu,
agar tiada suatupun ,
dapat memalingkan aku daripada-Mu.”
“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu? Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”
0 comments:
Post a Comment