- See more at: http://dikaeuphrosyne.blogspot.com/2013/04/cara-agar-artikel-di-blog-tidak-dapat.html#sthash.rm0Bb4tQ.dpuf
topbella

Tuesday, July 10, 2012

UNIVERSITI BARAKAH


Setiap universiti ada bulan yang dinanti-nantikan oleh graduan-graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka. Pada bulan inilah mereka diraikan oleh ahli keluarga dan seluruh warga universiti pada hari yang sangat berprestij, hari konvokesyen. Ibu bapa merupakan insan yang paling gembira melihat kejayaan anak-anak mereka.
Segulung ijazah digenggam erat. Detik tersebut akan dicatatkan dan direkodkan sebagai detik terindah dalam hidup mereka. Hari yang dinanti-nantikan sepanjang pengajian mereka selama tiga hingga empat tahun di universiti tersebut.

Itu kisah graduan yang diraikan. Apakah kaitannya dengan bulan Ramadhan yang bakal kita lalui nanti?

Analoginya mudah. Universiti kita sekarang adalah bulan Ramadhan. Berminggu-minggu sebelum masuk ke ‘universiti’, kita seharusnya membuat persiapan awal yang lengkap. Persiapan diri dan mental. Menyelesaikan segala urusan duniawi kerana kita bakal masuk ke satu bulan yang mengkehendaki kita menyibukkan diri dengan amalan dan ibadat yang boleh mendekatkan diri kepada Allah.

Minggu pertama dalam bulan Ramadhan, ibarat minggu orientasi di universiti. Kalau di universiti, kita berdepan dengan minggu orientasi yang memenatkan, yang mengkehendaki kita banyak berjalan dari satu fakulti ke fakulti yang lain, dan berdepan dengan realiti sebenar kehidupan universiti yang tidak lah semudah yang disangka.

Kisahnya sama dengan bulan Ramadhan ini, minggu pertama akan menjadi sangat berat bagi mereka yang baru belajar berpuasa dan bagi yang sudah sekian lama tidak melatih diri berpuasa sunat. Kerana puasa bukanlah hanya menahan lapar dan dahaga tetapi turut menuntut kita menahan nafsu amarah, iri hati dan semua sifat yang dulunya dididik oleh syaitan selama 11 bulan sebelum ini. Letih berpuasa bukanlah alasan untuk bersikap ‘moody’ dan kurang energetik dalam kerjaya.

Pengisiannya pula berorentasikan kerinduan kepada Pencipta yang melimpahkan Rahmat dan MaghfirahNya. Serta pujuk rayu agar dilepaskan daripada Neraka yang meluap-luap bahangya. Ramadhan juga mengajar pencinta akhirat memperkemaskan kualiti ibadat fardhu dan menggandakan amalan sunat serta menghidupkan sunnah mulia Rasulullah s.a.w.

Seperti mana universiti sebenar, setiap apa yang diajar tetap akan diuji dalam peperiksaan. Ujian kita kali ini datangnya dari Allah. Allah munguji kesabaran kita dengan perkara yang kita paling marah, Allah menguji keimanan kita dengan perkara yang paling kita sayang, Allah juga menguji kekuatan kita pada perkara yang paling kita lemah, Allah menguji ketaqwaan kita pada perkara yang kita lalai, malah Allah uji kita dalam semua perkara. Disitulah, bukti cinta sejati yang selama ini kita ucapkan dipertaruhkan. Lulus dan gagal dalam ujian Allah, sepatutnya dijadikan tanda aras bagi mereka yang sentiasa mengejar kejayaan segulung taqwa.

 Belajar merungkai dan menginsafi diri atas kebesaran Alllah sekali gus dapat menambah keimanan dalam diri kita. Kesanggupan berjaga malam dan bersengkang mata menyiapkan ‘assignment’ dalam pelbagai cara demi mengumpul ‘mata’ tambahan untuk berjaya di universiti Ramadhan ini. Ada 
yang mendirikan solat terawih, membaca Al-Quran, mengerjakan solat-solat sunat dan berlumba-lumba melakukan ibadah yang disukai oleh Allah.
Jika mahasiswa berlumba-lumba menyiapkan assignment, membuat tutorial, keluar masuk bilik lecturer bertanyakan soalan yang tidak dapat diselesaikan, berusaha mendapatkan markah tertinggi dalam kalangan rakan-rakan mereka, dan sedaya upaya inginkan gelaran dekan. Di bulan inilah kita perlu letakkan azam dan berlumba-lumba melengkapkan ibadah kita,banyakkan zikrullah, berlumba mengejar pahala untuk bekalan kita dan sedaya upaya inginkan gelaran muttaqin ( orang-orang bertaqwa ).
Ijazah Taqwa akan dianugerahkan pada Konvokesyen Akhirat nanti oleh Allah sendiri. Beruntunglah bagi mereka yang menerimanya, dan merugilah bagi mereka yang mensia-siakan Ramadhan yang menjadi Universiti kepada anugerah Taqwa. Hanya sebilangan sahaja akan berjaya ditambah pula dengan ‘sijil’ LailatulQadar bagi mereka yang memburunya.

Roh puasa akan membenihkan karakter diri yang mantap dan terpuji. Apatah lagi janji Allah pada mereka yang benar-benar sabar dengan mengerjakan suruhan-suruhanNya, pasti Taqwa menjadi milik mereka.
Harus diingat, Ramadhan bukan menjadi titik tolak untuk meraih Taqwa, amalan Fardhu yang lain turut menjadi syarat-syaratnya. Sebaik mana pun amalan kita di bulan Ramadhan, tetapi di bulan-bulan yang lain, kita masih ditakuk lama, mencari sisa-sisa maksiat, Taqwa hanyalah sebuah mimpi.
Namun, universiti Ramadhan jangan diperlekehkan, kerana disitu bisa ditanam pucuk-pucuk taqwa dan iman. Orang yang bertaqwa seolah-olah mereka sedang berjalan di tengah-tengah malam yang padanya penuh onak dan duri. Begitulah bakal-bakal ‘graduan’ taqwa dalam meniti usia dunia fatamorgana ini.

Pemergian Ramadhan, bukanlah untuk ditangisi berterusan. Alangkah beruntung jika tangisan itu menyiram benih-benih iman yang disemai semasa berada di Universiti Al-Mubarak. Usah biarkan segala usaha menanam benih tersebut dipersia-siakan. Jika kita teruskan dengan amalan yang telah kita didik dalam diri kita selama sebulan ini, InsyaAllah, benih iman tadi akan tumbuh segar dalam diri kita sehingga kita bertemu dengan ramadhan yang akan datang dengan penuh pengharapan.

terus menjadi hamba yang meraih ridhoNYA

Site Sponsors

Powered by Blogger.