Itulah bicara Nuh kepada anaknya. Surah Hud ayat 42 mencatatkan kisah ini. Saat banjir kilat lagi besar berlaku sebagai hukuman kepada kaumnya. Anaknya terkapai-kapai ditenggelami air, sedang Nabi Nuh dan mereka yang beriman dengannya sudah selamat di atas bahtera.
“(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir.”
Surah Hud ayat 42.
Tetapi Sang Anak yang kufur kepada Allah, menolak pelawaan ayahandanya. Bahkan dalam keadaan terkapai-kapai itu masih bongkak lantas:“
Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air.” Surah Hud ayat 43.
Nabi Nuh sayu berkata:
“Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.”
Surah Hud ayat 43.
Dan lemaslah anak, apabila banjir itu menenggelamkan hatta gunung-ganang.
Semestinya, di blog ini, saya tidak boleh menyatakan ‘ya bunayya’, kerana saya rasa di blog ini terdapat pelbagai lapisan umur yang sedang membacanya. Ada taraf Ayah, ada taraf Ibu, ada taraf senior, ada taraf rakan seangkatan, ada taraf adik-adik, dan insyaAllah, ada juga taraf anak-anak. Tetapi , saya masih boleh menyatakan:
“Irkam Ma’ana”, naiklah bersama-sama kami.
Ke mana? Persoalan muncul di dalam hati kalian.
Saya menjawab: “Menjadi Hamba Ilahi Sejati.”
Itulah bahtera kekuatan, yang akan membantu kita melalui kehidupan ini dengan keselamatan.
Peganglah kunci Bahtera
Semestinya, kita perlukan kunci untuk membuka pintu bahtera ini. Dan itulah dia dengan beriman kepada Allah SWT dan RasulNya. Kita naik saksi bahawa Allah adalah Ilah(Tuhan) dan Rabb(Pentadbir) seluruh kehidupan kita, dan kita juga naik saksi dengan kyakinan tiada giyahnya bahawa Muhammad itu Rasul kepada Allah tadi.
Dengan kunci inilah kita membuka bahtera kekuatan, menaikinya, dan melayari kehidupan ini dengannya.
Di dalam bahtera ini
Di dalam bahtera ini ada ketenangan, ada kebahagiaan, ada kelapangan. Semuanya bergabung menjadi satu makna yang mampu kita ungkap di dalam satu perkataan – Kekuatan.
Saat badai menerjah, bahtera ini menjaga kita dan meyakinkan bahawa segala-galanya akan selamat, dan apa yang berlaku kepada kita adalah yang baik-baik sahaja. Walaupun pada awalnya kelihatan seperti sebaliknya.
“…Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
Surah Al-Baqarah ayat 216.
Saat kelemahan menyelimuti diri, keresahan mengikat hati, bahtera ini memberikan hati kita motivasi, lantas menjadikan kita kondusif menjalani kehidupan.
“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.”
Surah Ali-Imraan ayat 139.
Saat kita ketakutan dan merasa ingin berputus asa, bahtera ini memberikan semangat, menghilangkan segala keraguan lantas membuatkan kita berdiri tanpa gentar.
“
Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Surah At-Taubah ayat 40.
Di dalam bahtera ini ada kekuatan, untuk kita melayari kehidupan dengan penuh tabah dan gagah. Tiada musuh mampu menggentarkan kita. Tiada badai mampu menenggelamkan kita, tiada taufan yang mampu merobohkan kita.
Kita selamat di dalam bahtera ini, dengan keselamatan yang nyata.
Bahtera ini berjalan dan bukannya statik
Bahtera ini bergerak, seiring bergeraknya kehidupan kita. Sebab itu kita tidak sekadar memegang kunci bahtera dan melaung-laung bahawa kita adalah ahlinya. Tidak dan tidak. Bahkan, kita menakhodanya. Bahkan, kita menunjukkan kepada orang pula betapa baik dan indahnya bahtera ini.
Bahkan, kita memanggil lebih ramai orang lagi untuk menaiki bahtera kekuatan ini.Tidak sekadar mengaku sebagai ahli bahtera, kita juga menunjukkan syakhsiah ahli bahtera ini. Lantas akhlak kita diarah untuk dijaga. Lantas tutur kata kita turut digesa periksa.
Ahli bahtera bukan pengotor. Sedangkan dia adalah seorang yang pembersih.
Ahli bahtera bukan pembazir. Sedangkan dia adalah seorang yang berjimat cermat dan hanya membelanjakan pada sesuatu yang perlu.
Ahli bahtera bukan yang berakhlak buruk. Sedangkan dia adalah yang mempunyai peribadi yang bersih.
Ahli bahtera bukan pembohong. Sedangkan dia adalah seorang yang jujur.
Ahli bahtera bukan malas. Sedangkan dia adalah seorang yang rajin.
Syakhsiah diiringi fikrah. Bukan semata-mata fikrah yang dicanangkan. Tetapi syakhsiah yang dipraktiskan di dalam kehidupan yang sebenar, itu adalah apa yang benar-benar membuatkan ahli bahtera ini kuat dan terselamat.
Menuju Destinasi Yang Selamat
Menjaga sepanjang perjalanan, bererti perjalanan ini mempunyai penamatnya, di kala mana penjagaan ini tidak lagi diperlukan. Ya. Bahtera ini akan membawa kita ke satu destinasi yang selamat. Destinasi di mana tidak perlu lagi bahtera ini melindungi kita.
Itulah dia syurga Allah SWT. Ke sana kita berlayar dengan bahtera ini sebenarnya.
Dengan kekuatan yang bahtera ini serapkan ke dalam kita, membuatkan kita tabah menjalani kehidupan, pancarobanya, ujian dan dugaannya, kesusahan dan kesukarannya, hingga akhirnya kita sampai ke SyurgaNya. Berjayalah kita.
Persoalan, siapakah yang mencari, dan menaiki pula bahtera ini?
Atau rata-rata tidak menyahut seruan agar sama-sama menjejaki bahtera kekuatan ini?
Penutup: Sama ada kamu adalah Nuh dan orang-orangnya, atau sekadar menjadi anak kepada dia.
Sungguh kisah Nuh dan anaknya memberikan kesan. Sedang huluran tangan telah diberikan. Namun keangkuhan kerana merasa diri ada tempat yang selamat selain bahtera, membuatkan diri si anak terkorban.
Sungguh, Allah mengkehendaki apa?
Kalau di zaman Nuh saat banjir itu, Allah mengkehendaki yang beriman kepadaNya menaiki bahtera. Jika tidak, akan hancur ditelan banjir.
Apakah pengajarannya?
Allah mahu kita tunduk kepada Dia sekarang. Menjadikan kehidupan ini sebagai ibadah. Menjauhi laranganNya dan melaksanakan perintahNya. Tetapi apakah yang kita lakukan? Adakah kita menyahutNya? Atau kita berkata kepada Allah sebagaimana anak Nuh berkata kepada Nuh:
“Aku ingin berenang ke gunung yang tinggi. Di sana aku akan selamat.”
Gunung manakah yang lebih tinggi daripada Allah SWT?
Di ceruk dunia manakah yang mampu menyelamatkan kita daripada gapaian Allah SWT?
Tidakkah kita memerhatikan? Sungguh, bahtera kekuatan sudah terpampang di hadapan mata. Bersedia untuk anda menjadi salah seorang penumpangnya. Tetapi apakah anda bergerak ke arahnya? Atau membiarkan bahtera kekuatan itu berlayar begitu sahaja?
wahai sahabat ku ku sayangi ayuh kita menaiki bahtera ini agar dapat terus berlayar sebagai hamba yang meraih ridho dan cintaNYA
salam muhibbah dari mujahid rj ^_^
0 comments:
Post a Comment