- See more at: http://dikaeuphrosyne.blogspot.com/2013/04/cara-agar-artikel-di-blog-tidak-dapat.html#sthash.rm0Bb4tQ.dpuf
topbella

Monday, October 10, 2011

Bahtera Kehidupan...


Itulah bicara Nuh kepada anaknya. Surah Hud ayat 42 mencatatkan kisah ini. Saat banjir kilat lagi besar berlaku sebagai hukuman kepada kaumnya. Anaknya terkapai-kapai ditenggelami air, sedang Nabi Nuh dan mereka yang beriman dengannya sudah selamat di atas bahtera.

“(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir.” 
Surah Hud ayat 42.

Tetapi Sang Anak yang kufur kepada Allah, menolak pelawaan ayahandanya. Bahkan dalam keadaan terkapai-kapai itu masih bongkak lantas:

Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air.” Surah Hud ayat 43.

Nabi Nuh sayu berkata: 

“Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.” 
Surah Hud ayat 43.

Dan lemaslah anak, apabila banjir itu menenggelamkan hatta gunung-ganang.

Semestinya, di blog ini, saya tidak boleh menyatakan ‘ya bunayya’, kerana saya rasa di blog ini terdapat pelbagai lapisan umur yang sedang membacanya. Ada taraf Ayah, ada taraf Ibu, ada taraf senior, ada taraf rakan seangkatan, ada taraf adik-adik, dan insyaAllah, ada juga taraf anak-anak. Tetapi , saya masih boleh menyatakan:
“Irkam Ma’ana”, naiklah bersama-sama kami.
Ke mana? Persoalan muncul di dalam hati kalian.
Saya menjawab: “Menjadi Hamba Ilahi Sejati.”
Itulah bahtera kekuatan, yang akan membantu kita melalui kehidupan ini dengan keselamatan.


Peganglah kunci Bahtera
Semestinya, kita perlukan kunci untuk membuka pintu bahtera ini. Dan itulah dia dengan beriman kepada Allah SWT dan RasulNya. Kita naik saksi bahawa Allah adalah Ilah(Tuhan) dan Rabb(Pentadbir) seluruh kehidupan kita, dan kita juga naik saksi dengan kyakinan tiada giyahnya bahawa Muhammad itu Rasul kepada Allah tadi.
Dengan kunci inilah kita membuka bahtera kekuatan, menaikinya, dan melayari kehidupan ini dengannya.

Di dalam bahtera ini
Di dalam bahtera ini ada ketenangan, ada kebahagiaan, ada kelapangan. Semuanya bergabung menjadi satu makna yang mampu kita ungkap di dalam satu perkataan – Kekuatan.

Saat badai menerjah, bahtera ini menjaga kita dan meyakinkan bahawa segala-galanya akan selamat, dan apa yang berlaku kepada kita adalah yang baik-baik sahaja. Walaupun pada awalnya kelihatan seperti sebaliknya.

“…Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” 
Surah Al-Baqarah ayat 216.

Saat kelemahan menyelimuti diri, keresahan mengikat hati, bahtera ini memberikan hati kita motivasi, lantas menjadikan kita kondusif menjalani kehidupan.

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” 
Surah Ali-Imraan ayat 139.

Saat kita ketakutan dan merasa ingin berputus asa, bahtera ini memberikan semangat, menghilangkan segala keraguan lantas membuatkan kita berdiri tanpa gentar.
Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” 
Surah At-Taubah ayat 40.

Di dalam bahtera ini ada kekuatan, untuk kita melayari kehidupan dengan penuh tabah dan gagah. Tiada musuh mampu menggentarkan kita. Tiada badai mampu menenggelamkan kita, tiada taufan yang mampu merobohkan kita.

Kita selamat di dalam bahtera ini, dengan keselamatan yang nyata.

Bahtera ini berjalan dan bukannya statik
Bahtera ini bergerak, seiring bergeraknya kehidupan kita. Sebab itu kita tidak sekadar memegang kunci bahtera dan melaung-laung bahawa kita adalah ahlinya. Tidak dan tidak. Bahkan, kita menakhodanya. Bahkan, kita menunjukkan kepada orang pula betapa baik dan indahnya bahtera ini. 

Bahkan, kita memanggil lebih ramai orang lagi untuk menaiki bahtera kekuatan ini.Tidak sekadar mengaku sebagai ahli bahtera, kita juga menunjukkan syakhsiah ahli bahtera ini. Lantas akhlak kita diarah untuk dijaga. Lantas tutur kata kita turut digesa periksa.

Ahli bahtera bukan pengotor. Sedangkan dia adalah seorang yang pembersih.

Ahli bahtera bukan pembazir. Sedangkan dia adalah seorang yang berjimat cermat dan hanya membelanjakan pada sesuatu yang perlu.

Ahli bahtera bukan yang berakhlak buruk. Sedangkan dia adalah yang mempunyai peribadi yang bersih.

Ahli bahtera bukan pembohong. Sedangkan dia adalah seorang yang jujur.

Ahli bahtera bukan malas. Sedangkan dia adalah seorang yang rajin.

Syakhsiah diiringi fikrah. Bukan semata-mata fikrah yang dicanangkan. Tetapi syakhsiah yang dipraktiskan di dalam kehidupan yang sebenar, itu adalah apa yang benar-benar membuatkan ahli bahtera ini kuat dan terselamat.

Menuju Destinasi Yang Selamat
Menjaga sepanjang perjalanan, bererti perjalanan ini mempunyai penamatnya, di kala mana penjagaan ini tidak lagi diperlukan. Ya. Bahtera ini akan membawa kita ke satu destinasi yang selamat. Destinasi di mana tidak perlu lagi bahtera ini melindungi kita.

Itulah dia syurga Allah SWT. Ke sana kita berlayar dengan bahtera ini sebenarnya.

Dengan kekuatan yang bahtera ini serapkan ke dalam kita, membuatkan kita tabah menjalani kehidupan, pancarobanya, ujian dan dugaannya, kesusahan dan kesukarannya, hingga akhirnya kita sampai ke SyurgaNya. Berjayalah kita.

Persoalan, siapakah yang mencari, dan menaiki pula bahtera ini?
Atau rata-rata tidak menyahut seruan agar sama-sama menjejaki bahtera kekuatan ini?

Penutup: Sama ada kamu adalah Nuh dan orang-orangnya, atau sekadar menjadi anak kepada dia.
Sungguh kisah Nuh dan anaknya memberikan kesan. Sedang huluran tangan telah diberikan. Namun keangkuhan kerana merasa diri ada tempat yang selamat selain bahtera, membuatkan diri si anak terkorban.
Sungguh, Allah mengkehendaki apa?

Kalau di zaman Nuh saat banjir itu, Allah mengkehendaki yang beriman kepadaNya menaiki bahtera. Jika tidak, akan hancur ditelan banjir.
Apakah pengajarannya?

Allah mahu kita tunduk kepada Dia sekarang. Menjadikan kehidupan ini sebagai ibadah. Menjauhi laranganNya dan melaksanakan perintahNya. Tetapi apakah yang kita lakukan? Adakah kita menyahutNya? Atau kita berkata kepada Allah sebagaimana anak Nuh berkata kepada Nuh:

“Aku ingin berenang ke gunung yang tinggi. Di sana aku akan selamat.”
Gunung manakah yang lebih tinggi daripada Allah SWT?
Di ceruk dunia manakah yang mampu menyelamatkan kita daripada gapaian Allah SWT?

Tidakkah kita memerhatikan? Sungguh, bahtera kekuatan sudah terpampang di hadapan mata. Bersedia untuk anda menjadi salah seorang penumpangnya. Tetapi apakah anda bergerak ke arahnya? Atau membiarkan bahtera kekuatan itu berlayar begitu sahaja?


wahai sahabat ku ku sayangi ayuh kita menaiki bahtera ini agar dapat terus berlayar sebagai hamba yang meraih ridho dan cintaNYA 


salam muhibbah dari mujahid rj ^_^

Friday, September 23, 2011

nak sekarang ker nak nanti??


Kahwin awal. Ramai akan memberikan pro dan kontranya. Benda ini biasanya diutarakan oleh remaja, pelajar. ‘Awal’ yang dimaksudkan dalam ayat ‘kahwin awal’ itu biasanya dilihat pada umur 23 ke bawah. Sebab bila dah umur 24, orang tak ramai bising menyatakan itu awal. Walaupun ada juga sebahagian orang yang saya jumpa, dia kata bahawa kahwin umur 25 itu awal juga. Katanya umur 30 baru ok. Entahlah.
Cuma biarlah saya fokuskan ‘kahwin awal’ ini kepada yang berumur 23 ke bawah ya. Sebab ada benda dalam artikel ini yang saya suka nak khaskan buat mereka yang berumur baya-baya saya ini.
Pertamanya, saya bukan nak kata ‘kahwin awal itu betul’ atau ‘kahwin awal itu salah’. Pada saya, kahwin awal boleh jadi betul, dan boleh jadi salah. Pokok pangkalnya, dalam hal kahwin awal, saya suka untuk membawa diri saya dan diri kita semua untuk melihat semula kepada dua perkara utama dalam isu kahwin awal.
1. Membina rumah tangga.
2. Orang yang hendak membina rumah tangga.
Kenapa saya tak sebut ‘kahwin’. Sebab ‘kahwin’ memang senang. Sehari je kahwin. Majlis kahwin. Akad nikah. Dan lain-lain. Sehari sahaja. Tetapi siapa nak berumah tangga sehari sahaja? Kalau ada tak mengapa. Tak payah baca yang ini.
Tujuan berumah tangga
Maka saya membawa pada asas terlebih dahulu. Apa tujuan berumah tangga?
Rata-rata remaja akan mengutarakan jawapan seperti berikut:
1. Cinta.
2. Tak nak berdosa. Nak tunduk pandangan. Jauhi zina.
3. Nak lorongkan nafsu ke jalan yang benar.
Biasanya untuk pemuda yang belajar sikit, dia akan mengutarakan hadith ini sebagai dalilnya.
Rasulullah SAW ada bersabda: “Wahai sekalian para pemuda, barangsiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah segera bernikah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata dan lebih menjaga kehormatan diri…” (Muttafaq ‘Alaih).
Maka di sini, ramai yang melihat kahwin awal adalah solusi kepada cintanya yang berbuah semasa remaja, semasa belajar. Kahwin awal adalah solusinya untuk menjauhkan dosa dari berhubungan cara yang tidak dibenarkan Islam. Kahwin awal adalah solusi untuk dia menjaga diri dari dari nafsu yang tidak terkawal dan sebagainya.
Tetapi, benarkah tujuan berumah tangga hanya itu?
Rumah tangga bukan sekadar itu.
Rumah tangga hakikatnya adalah madrasah pertama kepada manusia. Sedar atau tidak, ia adalah hakikat yang tidak boleh ditolak. Majoriti masyarakat dunia lahir dari institusi rumah tangga. Mungkin sebahagian kecil lahir di tengah hutan, di lorong gelap, dan membesar tanpa keluarga, itu adalah kes yang boleh dikira terpencil berbanding majoriti seluruh dunia.
Apabila kita memandang bahawa rumah tangga adalah madrasah membina individu-individu dalam masyarakat, dan tanpa kita sedari rumah tangga merupakan asas terpenting kepada sebuah masyarakat, negara, dan ummah.
Memang wujud institusi lain dalam kehidupan kita seperti nurseri, tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, dan universiti. Itu kalau tidak kita campur dengan institusi ‘underground’ baik yang baik, mahupun yang buruk.
Tetapi kita dapat lihat betapa ‘asas peribadi’ yang datang ke institusi-institusi tadi hakikatnya sudah terbina sebelum mereka masuk ke institusi-institusi tadi. Di manakah ianya terbina?
Di rumah. Di dalam rumah tangga. Di tangan mak ayah, atau sesiapa sahaja yang menjadi ‘guru pertama’nya di tempat dia membesar.
Maka sekali lagi kita lihat bahawa, asasnya adalah rumah tangga.
Maka, dapatkah kita dapat membayangkan bagaimana nanti sekiranya rumah tangga yang terbina adalah rumah tangga yang rosak, apakah efeknya kepada pembinaan masyarakat dan ummah?
Ya. Akhirnya kita melihat bahawa, rumah tangga yang kita bina bukan semata-mata kita.
Kita hakikatnya sedang membina ummah.
Rumah tangga bukan sekadar sehari dua.
Baik. Memahami perkara tadi, maka kita perlu melihat bahawa rumah tangga adalah satu perjalanan yang panjang. Bukan sehari dua, kemudian kita robohkan. Pada rumah tangga itu ada tanggungjawab. Tujuannya bukan semata-mata kepuasan hawa nafsu, hendak menjauh daripada dosa dan cintan-cintun semata-mata. Ia meliputi hendak membuat lebih banyak kebaikan(dengan membina rumah tangga yang bermanfaat untuk Islam, mampu memberi sumbangan kepada Islam) dan membawa definisi cinta yang sebenar, yakni hendak bersama hingga ke syurga.
Dan akhirnya kita dapat lihat di sini bahawa rumah tangga bukanlah keseronokan dua individu bernama suami dan isteri semata-mata. Bukanlah di dalamnya wujud semata-mata keindahan. Tetapi wujud juga halangan dan cabaran.
Maka di sini kita melihat bahawa, ada tanggungjawab lain menanti kita di dalam rumah tangga. Tanggungjawab yang memerlukan kita serius dan matang dalam membuat keputusan. Tanggungjawab yang memerlukan kita bijak dalam mengawal emosi dan perasaan. Tanggungjawab yang memerlukan kita mempunyai peribadi yang baik dan mampu mendidik. Tanggungjawab yang memerlukan kita mempunyai teknik pengurusan yang baik dan mampu merancang dengan baik.
Semua ini kita perlukan untuk menjalankan rumah tangga yang baik dan diredhai oleh Allah SWT.
Dapatkah kita melihat besarnya rumah tangga?
Entahlah. Kalau saya, saya pandang rumah tangga itu macam inilah.
Maka datanglah hal kahwin awal.
Apabila membicarakan hal kahwin awal, maka salah seorang cikgu idola saya ada menyatakan berkenaan: “Yang layak berkahwin”.
Ya. Sebenarnya pada saya, kahwin awal itu bukanlah masalah sekiranya yang nak kahwin awal itu sudah layak berkahwin. Maka timbul persoalan, siapakah yang layak berkahwin.
Cikgu idola cakap pada idola saya:
“Sekiranya enta dah mampu nak sara keluarga, itu dikira layak berkahwinlah.”
Sebahagian orang akan melihat bahawa ini satu cubaan membangkitkan kepentingan wang dalam berumah tangga. Maka ada orang akan kata pada saya bahawa, jangan takut fasal duit, itu semua nanti adalah tu.
Baik, saya bukan takut fasal duit. Dan saya tak rasa Cikgu idola  berkata ke arah itu juga. Pada saya, maksud sara keluarga ini adalah orang itu mampu menyara dirinya sendiri terlebih dahulu. Mampu menyara diri ini, tidaklah semestinya duit banyak. Maksudnya, dia mampu berdikari, menguruskan dirinya, mampu mencari sumber wang dan mampu berusaha. Bukan hidup bergantung kepada orang lain, bukannya orang yang tidak mahu mempertingkatkan diri apabila menyedari kekurangan, bukannya mendapat wang dari sumber yang dia tidak usahakan dan sebagainya.
Hal ini apabila kita pulang kepada apa yang saya nyatakan pada sub topik-sub topik sebelumnya, maka ia adalah amat relevan.
Kita perlu menampung satu tanggungjawab yang berat dan besar. Bukan sekadar hendak memberi makan, bahkan memimpin orang ke syurga. Bukan sekadar untuk keseronokan diri, tetapi untuk kebaikan ummah. Maka adakah sebenarnya kita layak melakukan sesuatu perkara yang sangat besar ini, dalam keadaan kita sendiri tidak pandai menguruskan diri dan berdikari?
Jadi, apabila kita sudah mampu menguruskan diri sendiri dan pandai berdikari, tidak kiralah umur berapa pun, maka kahwinlah sekiranya mahu. Bina rumah tangga. Sebab itu dahulu, orang tidak hairan dengan datuk nenek kita yang berkahwin umurnya 17 tahun, 16 tahun, 15 tahun dan sebagainya. Bukan sebab pada umur itu mereka sudah mempunyai harta yang banyak. Tetapi sebab mereka sudah layak berkahwin. Mereka pandai mengurus diri dan berdikari dengan baik.
Boleh bandingkan datuk nenek kita masa umur mereka 17 tahun, dengan pelajar SPM 17 tahun hari ini.
Pada saya, kalau sekadar ‘mampu’ untuk menampung kos perkahwinan yang hanya makan masa sehari itu, semua orang boleh. Yang mampu RM40,000, kahwin dengan RM40,000. Ada juga yang buat majlis sekitar RM2,000 sahaja. Kahwin memang senang.
Tetapi berumah tangga? Itu satu perkara yang lain.
Tak mengapa, mak ayah tampung.
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.” Surah An-Nuur ayat 32.
Maka ada remaja yang hendak kahwin awal, merasa mudah dengan bergantung terus kepada ibu bapa mereka berdasarkan dalil di atas.
“Tak apa, ayah ana ada.”
“Tak apa, mak ana boleh tampung.”
“Kos majlis kahwin, hantaran, semua ummi ana bayar.”
“Ayah ana kata dia nak hadiahkan rumah dan kereta. Ana tak payah risau dah.”
Hakikatnya. Pada asas, ibu bapa tidak perlu menampung anak lelaki mereka. Sepatutnya, seorang lelaki yang mempunyai hajat untuk berkahwin, perlulah berusaha untuk memenuhi keperluannya agar mampu berkahwin dan menggerakkan rumah tangga.
Tetapi bukanlah salah apabila kita hendak menjaga kehormatan Islam dengan mengelak tragedi seperti berzina, rogol dan sebagainya dengan ibu bapa menampung atau membiayai perkahwinan si anak dan mempermudahkan perjalanan rumah tangganya.
Cuma kenapa saya bangkitkan hal ini di sini?
Kerana saya hendak kita kembali melihat kepada tujuan rumah tangga dan peranannya kepada ummah seperti di atas. Pada saya, orang yang hendak berkahwin awal, kemudian meletakkan pergantungan rumah tangganya kepada kedua ibu bapanya adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Rumah minta mak ayah belikan. Kereta nak mak ayah tampung. Sedangkan majlis kahwin dan segala urusannya juga mak ayah yang berikan dana. Tiada dari duit sendiri yang dikumpul dengan penat lelah. Tiada dari usaha keras sendiri berusaha mencari dana. Maka di sini ada satu kepincangan dalam isu memandang berat terhadap tanggungjawab.
Bahkan, kita dapat melihat bahawa isu menampung keperluan hidup berumah tangga adalah tanggungjawab ketua keluarga yakni Si Suami. Bukan tanggungjawab ibu bapa Si Suami.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sebaik-baik kamu adalah yang makan dari hasil usaha kamu sendiri” Hadith riwayat Ahmad.
Dan firman Allah SWT: “…dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” Surah Al-Baqarah ayat 233.
Jadi apakah seorang ketua keluarga, yang dalam perhitungan dan perancangannya: “Tak apa, mak ayah ana ada. Diorang boleh sara ana dengan isteri.”
Persoalannya, apakah kahwin dan rumah tangga itu semata-mata hal penyaraan?
Konsikuensi tidak matang terhadap rumah tangga
Apabila tujuan berumah tangga tidak jelas, atau yang mendirikan rumah tangga tidak matang, tidak mampu, maka kesan terhadap rumah tangga adalah buruk.
Perceraian, kepincangan, anak-anak yang tidak terurus, kehidupan yang tidak bahagia dan lebih buruk lagi kepincangan ummah dan kemerosotan kualiti masyarakat. Oh, jangan ceritalah pada saya berkenaan mencari keredhaan Allah SWT dan membawa keluarga bersama ke syurga apabila rumah tangga sudah tidak terurus.
Remaja cenderung melihat kahwin awal adalah satu-satunya penyelesaian dalam hal cinta, menjauhi dosa, takut zina dan sebagainya, sekaligus mematikan opsi-opsi yang lain yang hakikatnya wujud. Sepatutnya kita berpandangan jauh dan melihat dengan teliti.
Apakah kebaikan sebentar kemudian membawa keburukan yang bertali arus itu solusi yang hakiki?
Maka habisilah dan telitilah sabda Rasulullah SAW itu.
Maka saya suka hendak menunjukkan kepada anda akan baki daripada hadith Rasulullah SAW yang saya utarakan di awal artikel ini tadi.
Rasulullah SAW ada bersabda: “Wahai sekalian para pemuda, barangsiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah segera bernikah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata dan lebih menjaga kehormatan diri…” (Muttafaq ‘Alaih).
Sempurnya hadith itu adalah begini:
Rasulullah SAW ada bersabda: “Wahai sekalian para pemuda, barangsiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah segera bernikah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata dan lebih menjaga kehormatan diri, dan barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu baginya adalah benteng.” (Muttafaq ‘Alaih).
Kahwin awal hanyalah untuk orang yang layak berkahwin awal. Yang mampu. Justeru, apabila kita menyedari bahawa kita bukanlah dari golongan yang ‘mampu’, maka hendaklah kita berpuasa dan memohon perlindungan daripada Allah, menjauhkan diri dari punca-punca yang boleh mendorong kita ke arah keingkaran kepadaNya, dan pada masa yang sama bermati-matian berusaha mempertingkatkan diri kita untuk menjadi orang yang layak berkahwin, orang yang mampu berkahwin.
Diperhatikan semula, hadith ini selain dinyatakan perihal kahwin sebagai solusi, ia juga mengutarakan ‘bertahan dan mempertingkatkan diri’ sebagai solusi. Apakah natijah puasa? Taqwa. Dan taqwa itu natijahnya adalah peningkatan terhadap peribadi. Mengapa Rasulullah tidak tinggalkan solusinya sekadar ‘kahwin’ semata-mata?
Kerana ‘mampu’ adalah satu indikator yang amat penting dalam berumah tangga.
Rumah tangga bukan perkara sehari dua.
Rumah tangga bukan hal kamu berdua(lelaki dan perempuan).
Rumah tangga hal ummah pada hakikatnya.
Kita kahwin bukan semata-mata nak halalkan chit-chat kita dalam YM.
Kita bukan berkahwin semata-mata untuk halalkan pegang tangan peluk-peluk.
Kita bukan berkahwin semata-mata nak halalkan telefon kita bergayut-gayut selama ini.
Kita bukan berkahwin semata-mata kerana nak halalkan dating kita selama ini.
Bukan semata-mata itu semua dan bukan.
Rumah tangga lebih besar dari hal kita berdua. Ia lebih panjang dari apa yang kita sangkakan. Bukan terbina atas suka-suka semata-mata. Tetapi perlu dibina dengan perancangan hakikatnya.
Penutup: Saya bukan kata tak boleh kahwin awal.
Artikel ini bukan melarang kahwin awal. Kalau rasanya sudah mampu, kahwinlah. Artikel ini juga bukan melarang ibu bapa untuk tampung anak-anaknya kahwin awal. Kalau rasa anak-anak itu sudah mampu menguruskan sebuah rumah tangga, maka tampunglah. Artikel ini juga bukanlah nak memberat-beratkan orang bujang yang nak menikah. Saya tak rasa pun ini memberat-beratkan. Kalau rasa sudah layak, tiada masalah, kahwinlah. Umur 15 pun saya tak larang kalau dah layak.
Artikel ini wujud supaya generasi hari ini tidak memandang enteng akan perkahwinan dan rumah tangga yang hendak dibina. Pada saya, kahwin adalah ibadah. Kehidupan berumah tangga adalah ibadah. Semuanya ada saham dalam pembentukan ummah. Justeru kita perlu pandang serius akan hal membina rumah tangga. Kalau benar cinta, cinta mesti hendak bersama ke syurga.
Kahwin bukan semata-mata melempiaskan hawa nafsu, bermain-main, syok-syok, suka-suka.
Kahwin adalah untuk membina rumah tangga, madrasah pertama kepada ummah.
Mengapa tidak boleh kita pandang lebih serius akan hal ini?
Kata-kata guru saya amat saya ingati:
“Perkahwinan hanyalah gerbang. Rumah tangga adalah perjalanan selepas kita melepasi gerbang itu.” 
.
( Artikal asal "Mari Menjadi Hamba")
Semoga bermakna.
Terus dan Terus Menjadi Hamba, salam sayang kerna Allah dari Mujahid ^____^

Site Sponsors

Powered by Blogger.